
Dilaporkan di Sinar Harian 10 Julai 2009
Tiga beradik warga emas perlu dibantu
AIR ITAM – Pertalian darah antara tiga beradik warga emas di Kampung Masjid Jalan Zoo ternyata kukuh walaupun masing-masing semakin menginjak ke usia emas.
Kakak sulung, Hasnah Abu Bakar, 70, berkata, selaku kakak paling tua beliau tetap bersama dua adiknya yang mengalami masalah kesihatan dengan dijaga seorang lagi adik yang masih sihat.
Menurutnya, mereka telah bersama sejak usia muda, namun setelah ketiga-ketiganya tidak sihat hanya seorang adik perempuan menjaga mereka.
“Salah seorang adik perempuan saya, Rokiah Abu Bakar yang berusia 64 tahun mengalami masalah tekanan mental dan tidak boleh dibiarkan kerana dia boleh sakit secara tiba-tiba.
“Manakala seorang lagi adik lelaki, Abdul Rahman Abu Bakar, 66, pula mengalami masalah lumpuh dan sakit belakang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.
Hasnah juga adalah seorang aktivis sosial yang aktif sejak muda hingga berusia 69 tahun.
Bagaimanapun, disebabkan masalah kesihatan beliau terpaksa menghentikan segala aktivitinya bersama masyarakat.
Hasnah tidak mempunyai pencen dan hanya bergantung kepada wang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja.
Hasnah berkata, sehingga kini, adik lelakinya, Abdul Rahman masih tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana badan kebajikan untuk menyara kehidupannya.
Abdul Rahman yang tidak berkahwin hanya mengharapkan bantuan daripadanya dan juga salah seorang adik yang masih sihat, Khatijah Abu Bakar.
“Saya berharap ada pihak kebajikan sudi membantu adik lelaki saya ini kerana dia tidak mempunyai sesiapa.
“Khatijah juga banyak membantu kami dalam menguruskan pakaian dan makanan kami seharian,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai yang prihatin dengan nasib tiga warga emas tersebut, mengunjungi mereka untuk menghulurkan bantuan wang tunai.
“Bantuan yang diberikan ini adalah di bawah peruntukan DUN dan kami prihatin dengan nasib warga emas yang memerlukan di kawasan Air Itam,” katanya.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi Hasnah di talian 04-8286469
No comments:
Post a Comment